Nama saya Muniandy. Saya lahir di Changlun, Kedah. Saya berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 1962. Saya mula menunggang beca pada tahun 1971. Emak saya kahwin kali kedua dengan seorang cina. Sejak itu saya ditinggalkan di rumah Jabatan Kebajikan. Pada masa itu, saya berumur 7 tahun. Saya mempunyai 3 adik-beradik. Saya tidak tahu dimana mereka tinggal sekarang. Saya tak balik ke Changlun. Sekarang, Changlun dah banyak berubah. Keluarga saya besar, tetapi saya tidak tahu dimana mereka sekarang. Pendapatan seharian boleh menjangkau RM10 hingga RM15 sahaja. Dengan duit sebanyak itulah saya menjalankan kehidupan seharian saya. Saya tidak ada pilihan lain. Pada musim cuti, saya akan dapat upah lebih kurang RM40 hingga RM50 sehari. Biasanya hari jumaat dan sabtu, saya akan mendapat upah lebih sikit. Saya rasa kerajaan harus bantu orang yang miskin dan tak berupaya. Tetapi kerajaan tidak berbuat demikian. Kerajaan hanya membantu golongan yang berada sahaja. Saya menunggang beca sejak tahun 1971 (42 tahun). Jabatan kebajikan memberikan RM300 sebulan. Saya akan mandi di kedai stesen petrol yang berdekatan. Saya juga akan tidur di stesen petrol Caltex. Saya tidak memiliki rumah. Saya akan dibangunkan oleh pemilik kedai pada pukul 5 pagi. Saya akan tunggu disitu sehingga pukul 6.30, baru lah saya akan ke tempat perhentian beca. Lebih kurang pukul 9.30 baru lah ada pelanggan yang naik beca. Caj biasa untuk sekali naik adalah RM10. Itu harga biasa untuk tempat yang berdekatan sahaja. Pendapatan seharian saya tidak tetap. Cuma pada musim cuti pelancong ramai, maka akan dapat rezeki yang lebih sikit. Kekadang ada rezeki, kekadang langsung tidak ada. Kekadang sehari sahaja dapat, tiga hari tak dapat apa-apa pun. Sekarang, kerajaan negeri memberi RM20 bagi setiap minggu untuk penunggang beca.